Melewati perigi duka
aku dihidang resah membara
resah unggas tidak berbatas
resah petani kehilangan padi
resah nelayan tidak bersampan
lalu kukumpul resah menjadi puisi
rakaman sejarah budi
Dari sudut jendela hiba
jejaka pejuang bangsa
datang membawa rencana
"mari kita robek dinding sengketa
kita roboh mercu tanda derita
bersama kita perkasakan bangsa
bersama kita dirikan tugu saksama
kita bulatkan tekad
kita daulatkan hakikat"
Lalu terpercik api perjuangan
dari obor setiakawan
menyuluh ibu pertiwi
dengan sinar kemenangan
dengan cahaya kebijaksanaan
Menatap helaian peristiwa
aku mula terdidik erti setia
terangsang menjunjung tepak saksama
terpanggil menegakkan panji-panji hakiki
kerana setelah setengah abad
belayar di lautan merdeka
masih ada nakhoda tersesat hala
masih ada kelasi terpinggir di terali
masih ada juragan mempersenda
peraturan dan janji
Mendepani resah
perlu kejujuran madah
bukan kelantangan hujah
memadam hiba
perlu prakarsa mulia
bukan sandiwara
tirai kebobrokan sudah lama dilabuh
bahtera kebenaran telah mula diangkat sauh.
Kuching
21 April 2001