setiap kali terbuka pintu Ramadan
wajah ibu memenuhi ruang memoriku
kuingati kasihnya mengatasi segala
kurindui sayangnya membatasi masa
kutangisi perginnnya merenyuk setiap sendi dan rasa
kerana Ramadan membawa banyak cerita
cerita ibu dan setiap detik masa bersama
cerita kehidupan di kampung diselimuti kesukaran
cerita tentang kasih sayang dan cinta
tentang pengorbanan dan erti duka
setiap senja sebelum berbuka
kutemani ibu menyeberangi sungai
menuju ke kilang papan tua
tempat ayah bekerja
menjadi penjaga setia
kubawa bersama sekaleng juadah
untuk bapa berbuka dan melepas lelah
Setiap kali terbuka pintu Ramadan
aku kembali menjenguk masa yang telah tiada
gugusan doa memenuhi ruang angkasa
ayat-ayat Tuhan mengundang air mata
betapa kurasai ketiadaan insan tersayang
betapa kurindui belaian ibu
ibu yang telah membesarkan
ibu yang telah menyusukan
ibu yang telah melindungi
dari dosa dan air mata
dari perit dan jerit duka
Ramadan ini kukunjungi pusara bonda
ada kemboja putih mewangi di dadanya
dan sepi memenuhi tamn insan yang telah tiada
sesekali ayat-ayat Tuhan bergema memenuhi ruang angkasa
sesekali terlihat air mata membasahi pusara
amat kurasa detik bonda ketika bersama
amat kunanti ruang waktu menghilang rindu
Setiap kali terbuka pintu Ramadan
rindu memenuhi ruang kecil nubariku
ibu seperti hadir memenuhi malamku
dan aku hanya berupaya menghulur salam
dengan tahlil dan ayat-ayat Tuhan.
21 Ogos 2010
11 Ramadan 1431