SCHADENFRAUDE*
Dia bertanya
mengapa manusia merosakkan dunia
atas nama Tuhannya
seperti para malaikat bertanya pada Yang Esa
mengapa dicipta manusia
yang akan merosakkan dunia
Dia cuba memahami
sikap dan sifat manusia
dari sudut minda
yang enggan menerima kewujudan-Nya
Dia seperti mencari
sampah di ujana bahari
ketika bunga membusa wangi
bertemu sekelumit langau
tersesat di laman rama-rama
dia berbicara seperti pendeta
berminda dahri dari lembah nihilisme
menikmati keseronokan
setelah menatap malang
kita hanya boleh berdoa
hidayah Allah menyentuh hatinya.
4 Ogos 2016