Malam sabtu, 18 Julai 2009, jam 11.30 malam, aku terima panggilan telefon daripada anakku, Muhammad Zakaria. Dengan nada sedih dia memberitahuku dia terbaca di dalam sebuah blog berita tentang Ustaz Haji Awang Pon bin Awang Sebon yang telah meninggal dunia. Dia bertanya sama ada aku maklum tentang berita itu. Ketika diberitahunya berita itu aku tak dapat berkata apa-apa. Kesedihan terus mendakap seluruh jiwaku. Hanya air mataku sahaja yang berbicara.
Untuk mendapat kepastian tentang berita yang kudengar tadi aku terus membuat panggilan telefon pada seorang teman, Awang Sabli, anak saudara Ustaz Awang Pon, yang kini bertugas di Miri. Awang Sabli mengesahkan berita itu dan memaklumkan padaku Allahyarham Ustaz meninggal dunia pada hari jumaat dan dikebumikan hari ini.
Allahyarham Ustaz Haji Awang Pon adalah seorang guruku semasa di kampung dan seorang teman dan rakan baik di dalam usrah dan semasa bertugas di pejabat Kerajaan. Aku mula mengenali Allahyarham seawal tahun tujuh puluhan. Ketika itu aku selalu hadir di kelas agama anjuran Allahyarham di kampungnya, Kampung Panglima Seman Ulu.Satu malam, selepas kelas, Allahyarham menjemput aku hadir bersama di dalam majlis usrah dan aku menerima pelawaan Allahyarham. melalui usrah ini aku banyak mengenali teman-teman di Kuching. Selepas itu hubungan kami sangat akrab dan mesra walaupun jarang ketemu.
Aku berpindah tugas ke Miri dalam tahun 1991 dan semasa di Miri aku sempat berjumpa Allahyarham dua kali ketika Allahyarham datang ke Miri untuk tugas rasmi. Kali pertama, Allahyarham datang ke pejabatku kerana urusan rasmi pejabat dan kali kedua aku yang menjemput Allahyarham ke rumahku. Ketika berbicara di rumahku banyak sekali perkara yang kami bicarakan dan aku terlalu asyik mendengar hujjah dan kupasan Allahyarham pada setiap perkara yang kami bincangkan.
Pernah suatu ketika di Miri seorang staf Jabatan Kehakiman Sayriah Miri datang bertemuku dan memaklumkan bahawa Allahyarham uzur di hospital Kuching kerana penyakit yang dihidapinya. Kalau tak silap ingatan, staf itu memberitahuku Allahyarham menjalani pembedahan.Paling menyentuh hatiku ketika itu bilamana staf itu memberitahuku, Allahyarham Ustaz berkirim salam padaku. Allahyarham sebagai seorang pegawai tinggi kerajaan yang begitu banyak tugas dan tanggungjawab dan ketika dalam keadaan sakit masih mengingati aku, seorang sahabat yang serba dhaif ini. Aku benar-benar tersentuh oleh kemuliaan hati dan ketinggian budi Allahyarham.
Pernah dalam tahun 1977 atau lebih tepat awal 1978 aku menziarahi Allahyarham di hospital Kuching. Allahyarham dimasukkan ke hospital kerana penyakit gastrik, kalau tak silap. Ketika yang sama isteriku baru melahirkan anakku yang kedua pada 30.12.1977 di hospital yang sama. Ketika bertemu Allahyarham Ustaz di hospital, aku belum lagi memberi nama anakku itu lantas kuberi penghormatan pada ustaz memberi nama anakku itu. Nama yang Ustaz berikan KHAIRUL ANWAR. Kini Khairul Anwar sudah berusia tiga puluh dua tahun, seorang bapa kepada tiga orang anak yang comel dan cerdik.
Selepas kembali dari Miri dalam tahun 1999 kami jarang bertemu. Aku hanya bertemu Allah yarham dalam bulan Disember 2006 ketika kami sama-sama hadir di majlis walimatul urus seorang saudaraku. Betapa mesranya layanan Allahyarham padaku ketika itu. Aku betul-betul terharu. Di majlis itu Allahyarham ada membawa sebuah kamera digitalnya dan dia merakam gambar kami berdua sebagai tanda pertemuan.Potret yang sangat bernilai di sisiku dan kukongsikan bersama teman di bawah ini saat yang mengharukan diriku.
Pada 24 Disember 2006 aku menerima emel daripada Allahyarham.Bersama emel tersebut disertakan bersama foto kami. Ingin kukongsikan bersama teman-teman emel tersebut , untuk melihat betapa halusnya bahasa Allahyarham padaku yang membuat hatiku benar-benar tersentuh.
"24.12.2006
Assalmualaikum wr.wb.
Terasa nikmatnya ukhwah Islamiah bila kita dapat bertemu semula di majlis walimah hari ini setelah sekian lama terputus.Mudah-mudahan Allah akan memelihara perhubungan ukhwah kita. Gambar yang dihantar ini perakam sejarah yang tak dapat dibohongi yang segala-galanya menjelaskan hakikat yang sebenarnya siapa kita? Wallahhu aklam dan wassalam.
Selepas emel yang pertama itu banyak lagi emel yang kuterima daripada Allahyarham dengan bahan-bahan yang menarik yang dikemukakan padaku. Setiap kandungan emel Allahyarham kubaca dan kuhayati kandungannya.
Semasa bertemu Allahyarham dapat kulihat keadaan fizikalnya yang membayangkan kesihatannya agak terganggu.Dia tidak seperti dulu. badannya agak kurus sedikit namun suara dan bahasanya tetap lembut dan indah dapat membuat kita tertarik hati akan ketulusan hatinya. Allahyarham adalah contoh insan yang berhati mulia. Tidak pernah sekalipun kudengar Allahyarham berkata dengan nada dan irama yang tidak elok melainkan baik semata-mata.
Emel terakhhir kuterima daripada Allahyaham pada 20 Februari 2009. Ingin kukongsi bersama teman-teman emel Allahyarham itu:
"20.2.2009.
Ask wr wb.
didoakan semoga saudara dalam keadaan sihat.Lama nak berhubung dengan saudara.terutama nak jemput hadir walimah anak ana tempoh hari, tak dapat berhubung. Hubungi pejabat katanya sdr dah bersara.Benar atau tidak wallahu aklam.Nak hantar kat jemputan kat rumah tak tahu alamat dan tak teringat pula nak kontak ustazah Saerah di Kampung.Apapun tolong doakan agar kita sama-sama sihat.Sebagai mengisi masa kosong ana cuba-cuba menulis, merangkak-rangkak dalam blog ana sendiri; Dewansyura weblog. kalau ada masa boleh layarinya, kemudian tolong komen dan tolong cadangkan apa bahan-bahan yang perlu ana isi dalam blog ana tersebut.Pandagan saudara amat dihargai dan diucapkan berbanyak terima kasih. Wassalam."
Bagi teman-teman yang ingin melayari blog Allahyarham sila klik di sini. Banyak sekali ilmu di dalmnya yang boleh dimanfaatkan.
Kini Allahyarham telah tiada bersama kita. Yang tinggal hanyalah jasa dan amalan baik yang tak terlupakan. yang tinggal hanyalah nama yang harum semerbak mengharumi bumi Sarawak Darul Hana. Yang tinggal adalah jasa pejuang agama yang murni dan gigih, kekal dalam ingatan hingga ke akhir zaman. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham menempatkan beliau bersama mereka yang mendapat keredaaan Allah jua.
Al-Fatihah.
Inna lilah wainna ilaihi rojiun.
10 comments:
Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Roji'un. Semuga Allah Mencucuri Rahmat Ke atas Rohnya. Takziah Dari CT Di atas Kehilangan Dan Pemergiannya.
Salam CT,
Terima kasih atas doa dan takziah. Kita sama-sama berdoa untuk allahyarham agar roh bersama orang yang dirahmati Allah jua.
Salam Pak PenaBahari,
"takziah bagi keluarga beliau".
Salam sdr Zul,
Terima kasih atas ucapan takziah dan keprihatinan sdr.
Salam bapak,
Takziah juga buat keluarga Allahyarham. Semoga beliau ditempatkan bersama para solihin...
inna lillahi wa inna ilaihi roji'un.salam takziah kepada keluarga allahyarham. allahyarham seringkali memberi ceramah semasa saya menuntut di mpbl sekitar tahun 1980-an. saya suka cara allahyarham memberi cermah, lembut, tetapi di sebalik kelembutan ada ketegasan. semoga roh allahyarham dicucur rahmat dari Yang Maha Esa. Aminnn.
salam..al fatihah..satu nama besar di sarawak...walaupun tak kenal tapi sering mendengar nama arwah..moga mendapat tempat di Al Jannah
Anakanda Defina,
Terima kasih atas ucapan takziah. Amat dihargai.
Benar sdr Muhddamine,
Allahyarham insan yang amat baik sekali.
Salam Arsaili,
Terima kasih atas doa sdr.
Post a Comment