Pekaka Bakau pun bercerita
"akulah si baju biru
teman ombak menderu
pantai di tanah utara
kini milik penjarah rimba
kerana dosa birokrat haloba
kau tentu ingin menulisnya
bukankah puisi itu senjata?"
Pekaka Bakau berdada putih
membawa cerita sedih
nelayan hilang pangkalan
laluan ke pantai dihadang palang
di papan tanda tertulis amaran
"Private property no trespassing"
nelayan seperti pendatang asing
di atas tanah tinggalan leluhur
"tulislah puisi untuk dimengerti
bukan bait-bait yang kabur"
Pekaka Bakau memahami
makna sebuah kehidupan
"apakah kau masih berdiam diri
membiarkan alam dan bangsamu kedukaan?"
28 Disember 2011
Kawanan ciak rumah
bertandang di laman
mencicip dan menyanyi
bahagia sekali di bumi ini
di kota penuh cerita
makanan melimpah melata
dan ciak rumah pun berpesta
Ciak rumah dari negeri jauh
di bumi sang petani
singgah di rimba milik si pipit jawa
berjuang untuk kehidupan sempurna
kota ini telah menjadi syurga baginya
dari jendela
kulihat kawanan ciak rumah
menyerang seekor murai gila
yang bernyanyi dan menari
di atas dahan rambutan tua
katanya “ ini kawasan kita”
murai gila terbang jauh di belantara
sedang hatinya masih bertanya
“sejak bila mandala ini milik mereka?”
14 Disember 2011.