Kutanjak lensa masa
pada sekeping potret monokrom
melantun resah, getir dan bilur
berpingit perit
bersuaka luka
lima puluh Sembilan tahun
merentas ujana waktu
musim sepia penuh ceritera
Hari rabu itu
risau ibu meluru
air sungai menghilir ke muara
awan sirus menghiasi jumantara
sedang ayah meredah payah
kutinggalkan Rahim ibu
hadir ke alam baru
menangis dan keliru
mendenyar sugul dan mahabbah
dari sekeping potret monokrom
terpantul ceritera bangsa
sejarah penuh lelah
sukarnya dijajah
bangsaku didaif penjarah
sekolah kampung tiang nibung
atap nipah hujan mencurah
pasrah tanpa marah
merdeka membara
bara membahangi raga
di balkoni usia senja
kuhimpun waktu lalu
menjadi artifak pengalaman
kuhidu aroma bahari
dupa leluhur mewangi
lalu kulontar warna-warna cinta
di atas kanvas mandala
biar terbentuk mural bangsa
berbingkai setia dan saksama
biar kulabuhkan tirai mimpi
kerana realitinya
esok masih ada buat kita.
22 September 2012.
(Ulta kelahiran ke-59)