Antara dua tebing
yang saling berselisih kata
kauhulur salam saudara
membuka dadamu menghampar budi
menjadi penyambung musim
memaut erat hati yang terluka
yang mula melupai makna kesetiaan
Engkau jambatan waktu
menjadi saksi kekentalan warga
merentasi arus sungai peradaban
memikul hampas rimba ketamakan
menuju ke muara kehidupan
yang penuh dengan ketakpastian
Di dadamu terpikul seluruh beban
di tanganmu tergenggam segumpal harapan
di hatimu terpahat riwayat
kelukaan yang tersimpan menjadi pusaka
kekal kukuh seabad usia
setiap detik setiap langkah setiap madah
terakam menjadi pesanan yang murni
jangan ada hati yang benci
jangan ada cinta yang dinoda
jangan ada amanah yang dipecah
Hari ini kelukaanmu menjadi parah
seperti kematian yang hampir
menerkam jasad yang telah kecundang
didakap kesejukan arus
atau inikah penutup segala cerita?
atau ada pembela
yang mahu memaksa diri
menghimpun kekuatan baru
atau mungkinkah ini masa berduka
terdampar ditinggal musim
terkubur bersama tangisan tebing
dibunuh wakktu yang teramat cemburu.
November 2004.
3 comments:
Assalamualaikum
Saya perhati satu kelebihan anda ialah gambar yang diambil tentang alam amat indah dan amat merdu bicaranya.
Kenapa tidak anda mengadakan pameranb perseorangan atau dengan orang lain seminat?
Pilih satu event seperti Hari Kebangsaan dan sebagainya dan bekerjasama dengan pihak seperti Atteliar atau Muzium Sarawak atau Yayasan Budaya Melayu atau DBP ataupun Water Front?
Jadikan ini satu aktiviti yang diberi tumpuan kerana sekarang sudah bersara?
Saya yakin gambar yang anda ambil ada nilai niaganya.
Terima kasih atas saranan sdr. Saya amat menghargainya. Semoga usaha ke arah itu akan menjadi kenyataan.
Saya mengimpikan gabungan puisi dan fotografi menjadi satu hasil seni yang bernilai tinggi.
Pernah seorang rakan kita mengadakan satu pameran lukisan, puisi dan gambar di Bangunan Muzium.
Sambutan bagus, terutama daripada pelancong barat.
Post a Comment