Perempuan tua dari Bintawa
kau lahir dari akar penegak budaya
dari pohon merimbun santun
berayahkan penoreh getah
yang tidak menyesali perih
menjunjung amalan soleh
menbangun keluarga dengan iman
bersendi harapan bertunjang sopan
Ibumu wanita ulungdi hujung kampung
mendepani masa dengan usaha
membina mahligai keluarga
memperkasa kehidupan berteraskan setia
Belum tercecah usia perawan
ayah dan ibu menemui Tuhan
kau terdampar di celah duka
bertamu di rumah tetangga
dengan peluh dan jerih
kau harungi gelombang sedih
Lima belas tahun terlalu muda
untuk menjadi isteri kekdua
seorang pemuda berbangsa India
yang susur galurnya bermula di Iraq
demi kehidupan yang lebih sempurna
kau harungi dugaan masa
membina keluarga berasaskan setia
Perempuan tua
dari seorang isteri muda
kau pertaruh seluruh upaya
membesar sebuah keluarga
bersandar adat dan budaya
menyuluh laluan dengan cahaya
bersendikan agama mulia
Lima kelahiran yang diderita
membesar menjadi manusia
-politikus negara penegak saksama
-pendakwah mulia penyebar agama
-pejuang sastera pemertabat budaya
-pengembara bertandang di tanah seberang
-dan si bongsu pelaut cekal
Perempuan tua dari Bintawa
masa telah melukis suasana
waktu telah menawar restu
tafsirkan senja dengan seribu makna
lautan tidak seluas ceritamu
malam tidak sesuram dukamu
bumi tidak seindah zuriatmu.
Kuching/Miri
1999
dipetik dari kumpulan puisi: BINGKAI WAKTU
5 comments:
Boleh CT tanya...adakah puisi ini mengisahkan ibu anda?
Sdr Pharo,
Adakalanya juga saya bertandang ke Blog saudara dan menikmati puisi yang dihidangkan tetapi entah belum pandai sangat nak bagi komen. Namun demikian, perkembangan puisi di sarawak telah menampakkan pertumbuhan yang sihat dan saya pun mula hendak bersama dalam dunia puisi melalui blog. Blog saya boleh dilayari melelui hipani.blogspot.com tetapi ia masih belum lengkap sepenuhnya kerana masih belajar utk memperbaikinya. TQ
Sahabatku CT,
Puisi ini adalah cerita ibu-ibu di dunia yg byk sekali menyentuh jiwa dan nurani saya. Selanjutnya nantilah sms saya.
Sdr Hipani,
Saya senang sekali menerima kunjungan sdr. Saya juga telah berkunjung ke blog sdr. Saya pasti akan menjadi pengunjung setia bloig sdr. Izinkan saya pautkan blog sdr ke blog saya. Terima kasih.
Saudara Pharo,
Saya senang sekali blog saya dipaut ke blog saudara. TQ
Post a Comment