(Buat seorang teman, arkitek di kota taman)
Menatap pencakar langit
tegak di persada kota
membuat aku kagum
pada jiwa seorang teman arkitek
yang dahulunya pernah menjadi buruh kasar
turut membina Bangunan Yun Phin perkasa
di tengah kota taman
kuingat sepanjang zaman
Begiutlah masa mengabadikan cerita
ada sejarah boleh membuat kita marah
ada kenangan memberi ketenangan
ada memori tinggal bersemi di hati
ada perjuangan tidak pudar dari ingatan
ada teman tidak terlupakan
ada cita-cita tidak kesampaian
ada harapan tidak kecapaian
Menatap arca budaya yang pernah diukir
aku rasa terpanggil untuk merakam
cerita kita di tepian kota
menggerakkan kesungguhan hati
memaknakan kesatuan
menulis cerita budi
di atas pentas bangsawan
menari, menyanyi mendukung harmoni
ketika usia bergerak lari
kupohon darimu sedulang janji
binakan sebuah menara harapan
di atas tapak kesetiakawanan
agar dapat kutoleh saat yang hilang
terlalu banyak pengajaran yang tertinggal di belakang
Tiga dekad yang terlepas
sukar kembali ke laman diri
entah esok masa kepergian
kita tak sempat meninggal pesan
tinggalkan potretmu di tengah laman
untuk kusimpan sepanjang zaman
bagimu mimpi bukan lagi khayalan
dan pelangi itu satu kenyataan.
Kuching
10 Disember 2003
dipetik dari kumpulan puisi: BINGKAI WAKTU
(nota tambahan: temanku ini meninggal dunia lebih setahun setelah puisi ini kutulis. Al-Fatihah)
6 comments:
Taniah buat tuan kerana telah menulis puisi yang bagus ini dan juga Takziah buat teman di kota taman.
Beruntung Allahyarham Odita kerana mempunyai seorang teman yang sangat mengasihi beliau...Al-Fatihah untuk beliau yang telah pergi mendahului kita...Allohummarghfirlahu, warhamhu, wa'afihi, wa'fu'anhu...Amien!
Terima kasih atas perhatian dan takziah Sakurasa.
Salam
CT juga seorang teman yang sangat saya sanjungi. Terima kasih atas Fatihah dan doa.
saya pefrnah mendengar nama odita ibrahim sekitar lewat 60-an/awal 70-an. ketika itu saya masih kanak-kanak lagi. Allahyarham seringkali terdengar suaranya melalui rancangan Halaman Kanak-Kanak kendalian Radio Malaysia Sarawak (kini Sarawak FM) Rancangan Halaman kanak-kanak itu dikendalikan oleh Pak Samad. Allahyarham ketika itu selalu menanyi dan bercerita. Semoga rohnya dicucuri Rahmat oleh Yang Maha Esa.Aminnn.
Terima kasih atas ingatan sdr mohd Amin. Allahyarham sahabat yang baik. Semoga mencucuri rahmat pada roh allahyarham.
Post a Comment