Awal enam puluhan
aku bersekolah di kampung Pulo
bangunan beratap nipah
berdinding sekerat cuma
namun hatiku bahagia
sayang cikgu melebihi segala
dalam kedaifan
terlukis kejujuran jiwa
dalam keterbatasan
terpancar kesungguhan upaya
melihat bangsa
mulia dan berharga di mata dunia
aku menyedarinya
terlewat empat dekad
Hari ini aku teringat pada cikgu
ingin rasanya kuundurkan waktu
menyusur memori
biar kuucapkan terima kasih
buat insan-insan yang memujukku
menjadi manusia
berjiwa dewasa
terima kasih cikgu
kerana menjadi lentera
memberi kami cahaya
ketika gelap menyelimuti,
melukis panorama negara
menjadi indah dan bergaya,
mencorak jiwa bangsa
menjadi anak merdeka
salam buat cikgu
yang memahami tanggungjawabnya
membawa bangsa
merentasi era penuh bara
menelusuri waktu-waktu haru
semoga Tuhan merestui
kesucian perjuanganmu
semoga bangsa menghargai
kesungguhan ragamu
mendidik bangsa menjadi dewasa
salam buat cikgu
Tuhan bersamamu