Suatu waktu yang lalu
kurentasi sahara hana
mencari tempat berhenti,
dipayungi pohonan tamar
setelah berkali-kali
dipedaya fata morgana
dibahangi mentari
kusinggahi wadi janji
melabuh lelah,
di ambang malam
mimpi pun kembali
nyanyi dalam satu simfoni
mengapungi fantasi
dan ketika tiba dinihari
mentari mencarik mimpi
dari ufuk realiti
fantasiku terhenti
aku harus kembali
kembara bersama kafilah waktu
memburu sebuah rindu
di gurun sukar ini
kuselusuri laluan memori
kosong dan sepi
seperti mimpiku
terkoyak di malam ngeri
Kafilah waktu
kembalikan mimpiku
bertemu dia di terminal masa
biar kupahat sebuah arca
wajah yang tidak tercela
kujadikan koleksi di galeri cinta .
2 Januari 2009
2 comments:
Salam bang...terima kasih kerana sudi berkongsi puisi yang indah dan romantic ini:)
TK kerana menyukainya.
Post a Comment