Kau lahir atas dasar keterpaksaan
dari keruntuhan harkat dan martabat wanita
di celah-celah lorong gelap dan kotor
yang menjanjikan sesuap nasi
membesar bersama kemusnahan nilai budi
tanpa masa muka untuk diimpi
tanpa sejarah cinta untuk dihayati
Ibumu yang bernama Marina
telah lama mengenali
lelaki yang tidak pernah memahami makna kasih
lelaki yang datang dengan seribu gaya
membeli kasih yang dipaksa
menyemai benih yang tercela
Ayahmu tiada siapa yang tahu
apakah seorang lelaki yang petah berbicara
atau pemuda yang terpedaya oleh nafsu
mungkin seorang pengembara yang memburu ilusi
lantas kau hidup sebagai anak tak berbapa
menghirup udara yang penuh noda
menjadi seorang pelayan di sebuah kelab malam
Setelah sekian lama bersama ibumu, Marina
kau mula terpedaya oleh kerdipan neon
dan seperti wanita yang terperosok di sudut gelita
kau membesar menjadi rama-rama
yang terbang di malam suram
menghitung jemari dan hasil diri
terkulai di tepi ranjang yang tidak berteman
Ketika azan subuh membelah suasana sepi
kau masih lagi dibuai mimpi
ada lelaki yang membisikkan janji
dan seperti ibumu Marina
kau tertipu lagi oleh kejelikan seorang lelaki
Mentari pagi yang datang
rupanya bertandang membawa berita
di rumah, ibumu sudah tiada
kembali berjumpa Azza wajalla
setelah sepuluh tahun menderita sakit
kau yang tinggal perlu terus berakit
mengharungi sungai kehidupan
untuk sampai ke muara usia
yang tidak menjanjikan bahagia.
Kuching
15 Mac 2001
Dipetik dari kumpulan puisi: BINGKAI WAKTU
6 comments:
Kesihan Suhana...semuga Allah memberikan hidayah kepada yang sepertinya untuk kembali ke pangkal jalan dan melindunggi diri kita dan anak cucu kita dari terjerumus ke lembah yang hina...amien!
sekelumit cerita manusia. Abang aminkan doa CT. Semoga kita dilindungiNya dari kehidupan yg amat tercela.
Salam Lebaran Bang Pharo.
Pertama, saya ucapkan tahniah atas kelahiran buku puisi Bingkai Waktu. Saya menemui buku ini di DBPKL selasa lepas.
Kedua, semoga terus menulis dan sihat sejahtera hendaknya.
Ketiga, sekali lagi tahniah atas kelahiran Bingkai Waktu.
Terima kasih banyak Roslan. Lan Raya di Kuching? Saya hanya di Kuching utk 3 hari pertama.
Alhadulillah. Itu hasil pertama abang setelah bergiat dalam penulisan puisi seawal 1969. Satu penantian yg terlalu lama. Bukan salah orang ya, salah sendiri.
Terima kasih sekali lagi Lin.
Apa yang penting isinya. Lambat atau cepat, bukan persoalannya. Paulo Coelho menerbitkan novel pertamanya pada usia 40-an.
Orang lebih muda seperti saya, selalunya serba-serbi kejeron! Cepat emosional, singkat berfikir dan mudah menyalahkan pihak lain. Biasalah tu, darah muda.
Takde rezeki lagi nak beraya di kampung sendiri. Apa-apa pun, jika saya berada di Sarawak masa raya, rumah bang Pharo lah dulu pertama ingin dikunjung. Kerana saya lebih menghormati orang yang lebih berusia. Mereka lebih berpengalaman dalam hal-ehwal kehidupan.
Salam.
Terima kasih atas penghormatan Roslan. Saya tidak menilai Roslan sebagai anak muda yg kejeron dan berdarah muda. Sebaliknya saya melihat diri Roslan sebagai anak muda yang cuup berwibawa karyanya, mengasyikkan saya dan mendapat sanjungan hati kecil saya. Saya tidak berkata untuk menyenangkan Roslan tapi meluahkan rasa hati yang jujur.
Post a Comment