Sesekali aku bermimpi
teringat ummi
menyesah pakaian kami
di bibir perigi
di belakang rumah kongsi
dan aku ikut mandi pagi
seketika dalam lena
kulihat bapa rajin bekerja
di gudang Jardine Waugh
di susur sungai Sarawak
berhadapan kampung tradisi
tempat tinggal pejuang negeri
lama sebelum merdeka bersemi
pesan ummi semasa mandi
kuingati hingga ke hari ini
"kasihi saudaramu dan juga jiran
jangan kautabur fitnah dan dendam
lukanya sukar dilupakan"
bapa seorang yang tabah
enggan menyerah atau pasrah
untuk hidup hilangkan resah
berduka tiada dalam kamusnya
selagi nafas belum berhenti
dia tidak ingin bermimpi
katanya, "hidup hanya sekali
lakukan kebaikan sehingga mati"
usiaku baharu enam tahun
di tepi perigi aku bermain
perahu layar daripada sabut
layarnya sekerat daun nipah
kulihat perahu layarku dipuput angin
menyusur perigi di pagi dingin
ibu memerhati aku bermain
ah! perahu layarku diterbalik angin
sesekali dalam mimpi
aku suka kembali
menyusur memori
di sana kutemui harmoni.
12 Ogos 2009
2 comments:
salam. pesanan ibu itu haruslah diamati. amat besar maksudnya... moga terus berkongsi karya.
Sdr Frankie,
Teruslah kita berhubungan. Kita cari titik pertemuan melalui puisi.
Post a Comment