Tahun 1976 pertama kali puisiku diterbitkan oleh Biro Kesusasteraan Borneo dalam sebuah antologi bersama BUIH DI AIR. Terdapat enam buah puisiku yang terbit bersama beberapa orang penulis lain. Satu pencapaian yang baik bagi diriku yang ketika itu baru berusia 23 tahun.
CERITA SEBUAH SENJA
Dengan irama nan mendayu
barisanku bernyanyi
bergema di angkasa luas
anakku memanggil
memujuk
merayu engkau
datanglah ke barisan kami
datanglah pada kemenangan
Ini senja sudah tua
menjenguk kota kabut
anakku memanggil lagi
'datanglah untuk kemenangan'
tapi engaku tertawa saja
bersama dayang-dayang keliling pinggang
dan kini Cafe itu telah jadi istanamu
kerana sudah separuh abad usiamu
masih lagi menjenguk Monalisa
Di bukit sana masjid emas menunggu lawat
dan di kakinya istanamu bermegah
dan kini anakku memanggil lagi
tapi engkau membisu
memekak
membiarkan senja berlalu
esok senja datang lagi
anakku memanggil lagi
Monalisa kan tersenyum
menghantar sinaran senja.
1975