Telah separuh abad
kita lalui labirin ini
menghela nafas merdeka
di bawah sinar mentari ogos
dan kita teruskan juga
perjalanan kafilah masa
menghala ke destinasi mimpi bangsa
sebuah Negara bangsa berjiwa setia
Telah kita pijak dan injak bara curiga
telah kita selusuri denai dendam
telah kita harungi lautan sengketa
mencari terminal toleransi
tempat berhimpun
mengikis daki prasangka
yang melekat
pada jasad generasi sangsi
kita teramat pasti di sini
di daerah bahari ini
tempat bersemadi nanti
Hari ini, tiga puluh satu ogos
kita berhimpun di bawah bumbung kebebasan
berdiri di atas lantai kesatuan hati
membentuk banjaran gagah megah
sambil menyanyikan lagu syahdu
sebuah simfoni merdeka
jangan lagi ada jiwa merana
menahan panahan dendam
jangan lagi ada hati
tidak memahami erti manusiawi
jangan lagi ada jasad
tersanggat dan terjerat
dalam lingkaran papa
saat mandala bermandi cahaya
meraikan sebuah merdeka.
27 OGOS 2008
3 comments:
Salam,
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan...semuga negara ini akan terus aman!
Selamat menyambut kemerdekaan Malaysia. Pastinya Malaysia masih sebahagian daripada jiwa CT...semoga berbahagia kita semua dan dijauhkan dari bencana..akibat manusia yang durjana.
Malaysia sebahagian daripada jiwa CT?
ITU PASTI!...bila dicubit peha kanan terasa pula peha kiri:((
CT amienkan do'a Pharmy!
Post a Comment