Dia berdiri di pentas bangsawan
pelakon utama sebuah drama tidak bernama
menghunus keris
resah dihiris
malam bertukar bengis
Pentas digelapkan pelakon bertukar
episod baru lagu sendu
penonton ikut sayu
suasana semakin haru
Seorang antagonis berseru
"Akulah pejuang
membanteras curang
biar kusergah leluhur penjajah
kita bersatu memperkukuh maruah"
penonton ikut ghairah
kita sudah punya khalifah
Drama berlatar sebuah kampung
zaman negeri digugat petulang
anak watan mempertaruh nyawa
menentang musuh saudara senegara
Malam semakin tua
Tirai pentas dilabuhkan
tanda berakhir sebuah drama
“kemenangan” milik mereka
negara aman pemimpin girang
Penonton senyum negaraku cemerlang
Di luar pentas penonton pulang
pejuang kembali sebagai penjaga dewan
malam esok cerita disambungkan
drama manusia menegak songsang
Anak-anak semakin bimbang
masihkah ada ruang
untuk kembali sebagai pejuang
apabila dusta dijulang
sejarah semakin curang.
28 Disember 2006
0 comments:
Post a Comment