SYAWALKAH INI?
Syawal ini hilal tidak kelihatan di langit
Baghdad dilitupi asap hitam
suara takbir dibatasi dentuman roket dan bom
masjid tempat bermandi darah
dan
Syawal di Palestin semakin genting
anak-anak kecil tidak sempat bergembira
hanya leraian air mata dan hiba wanita
hanya gelimpangan jasad pemuda
yang tidak mahu bangsanya menderita
dileburkannya sekujur tubuh di pagi raya
Syawal di Kashmir tiada lagi haruman kesturi
hanya hanyir darah pejuang menuju ke syurga
cukup sudah leraian air mata
cukup sudah tangisan hiba seorang bonda
manusia tidak berupaya membeza
antara keganasan dan erti merdeka
Syawal di Chechnya telah terlalu lama
disambut bukan dengan mercun dan bunga api
tapi disemarak dengan dentuman Kalashnikov dan roket
api kian membakar segala
yang tinggal hanya sisa-sisa manusia
meneruskan usaha untuk sebuah negara yang merdeka
di bumi yang penuh dengan sengketa
Syawal di negara Thai
sudah tiada lagi helai tawa
kerana takbir sudah ditukar dengan dendam membara
setelah ribuan nyawa yang tidak berdosa
dibunuh seperti menghapuskan ternakan
yang membawa bahaya
Begitulah dunia melihat insani
seperti menatap api yang digeruni
bukan cahaya yang menerangi
Syawal yang mulia
aku merindui pagimu yang menjanjikan
sebuah dunia yang mahu mengerti
makna sebuah harmoni
dari umat yang telah lama tenggelam
setelah tujuh ratus tahun mencorak alam
dengan kasih sayang dan salam
Salam Aidil Fitri
bukan masa untuk mengejar mati
bukan waktu untuk memburu lesu
salam pagi ini hanyalah suatu harapan
untuk sebuah masa depan
sebuah lukisan alam
potret panorama silam .
26 Oktober 2006
0 comments:
Post a Comment