(Kutinggalkan luka di pulau duka
lalu aku berhenti mengharap pada
janji laut yang tidak pernah setia pada cinta)
Sesekali dalam tenang
aku perlu melangkah jauh
ke pulau bening
mencari mentari pagi
Sesekali dalam sepi
aku harus berlari di pantai putih
mengutip sisa usia
Kegelapan malam di kota bingar
menambah resah
lalu malamku di sini
menjadi teman sepanjang zaman
Akan kuhilangkan segala perit
dipanah dendam semalam
yang bermula dari sebuah cerita cinta
tidak bernama
Di sini , di laut biru di pulau hijau
di pantai putih
kutemui hening alam
Betapa aku merindui
semalam yang kian jauh
dan aku terus dilukai
Di sini aku berlari mencari mimpi
yang hilang di malam kusam
akan kupulihkan segala resah
akan kuhilangkan segala perit
Langit kian hitam
laut kian geram
dan aku perlu berani
merentas taufan di hati
yang bertiup setiap detik usia
Kibarkan sahaja panji-panji kemenanganmu
dalam perang yang tak berhujung ini
aku pasrah pada ketentuan
yang tersurat di dalam sejarah diri
Aku akan kembali ke pulau seribu cerita
akan kulontar jauh
duka yang telah meranap
setiap benteng cintaku
Kiranya duka ini berakhir di sini
aku ingin kembali
menjenguk malam yang telah menjanjikan
setiap saat dan detik
dipenuhi mimpi berbalut kasih hakiki..
Tg Datu/Satang/Talang: Jun 2006
2 comments:
Kadangkala kita perlu kembali kepada yang memerlukan, kerana ia mengingatkan kita tentang sesuatu yang syahdu untuk dinikmati.
salam hormat.
Sdr Dahiri,
sesungguhnya mahu tak mahu, kita pasti kembali ke taman sepi, sendiri. Kita menunggu dengan tenang dan penuh pengharapan.
Post a Comment