(Sajak yang lahir setelah membaca sebuah buku sejarah tulisan Tuan Haji Said bin Haji Mohidin, “PEMBERONTAKAN DI BRUNEI 1962 Sabah dan Sarawak Terkena Tempiasnya)- Al Fatihah buat pahlawan-pahlawan bangsa yang telah menyerahkan jiwa mereka demi mengejar merdeka walaupun segala pengorbanan mereka telah dilupakan bangsa)
Setiap kali membaca
lembaran sejarah bangsaku
tiada kutemui catatan sanjungan
leluhurku hanyalah penceroboh kemanusiaan
pengacau keharmonian
perosak keamanan
dan dia manusia asing
pembela kemanusiaan sejagat
Tiba-tiba hari ini
kutemui catatan peristiwa
satu sembilan enam dua
tahun penuh luka
terakam pengorbanan bangsa
terlupa atau dilupakan
sirna dari arkib pertiwi
sedang pusara para pejuang
lama bersemadi tanpa sanjungan
tidak diingati kecuali famili
Sejarah itu catatan peristiwa
benar dan saksama
dan kita anak bangsa merdeka
perlu menilai setiap tetes darah
yang mengalir kerana negara
dengan minda yang terbuka
Satu sembilan enam dua
tahun yang mengajar sebahagian bangsa kita
nilai sebuah merdeka
walaupun sejarah bangsa
terlupa mencatat setiap peristiwa
dengan tulisan jiwa bangsa
yang besar dan merdeka.
27 Januari 2011
4 comments:
Salam,
err, ada di antara pemberontak ini sesusur galur keturunanku...
bukan pemberontak tapi pejuang kemerdekaan...
tugu peringatan harus dibina bagi memperingati jasa para pejuang bangsa berkenaan. Sama-saalah kita sedekahkan al-Fatihah kepada mereka, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Terima kasih sdr Muhd Amin. Senang sekali pabila ada anak bangsa masih mengingati perjuangan mereka.
Post a Comment