KETIKA embun masih bertandang di hujung rumput
dan mentari masih lena di kaki langit
Noorfitri bertarung dengan sengketa
antara manusia yang lupa
nilai sebuah nyawa
lalu ia terjatuh di tengah pergelutan sumbang
terbaring di ranjang putih
menanti mati yang telah pergi
mengejar hidup yang kian gugup
kehidupan kian sirna
memapah diri yang terluka
Baru setahun Afiq pergi
membawa bersama seribu tuna
meninggalkan kezaliman yang telah mula dewasa
kita yang berdiri masih belum mengerti
bagaimana mengubati hati yang keji
lantas Noorfitri dilukai
seribu keperitan yang tidak tertahan
seperti kematian dewasa yang perkasa
kazalimankah yang sedang bertakhta?
atau kelukaan diri manusia tega
menjelajahi rimba kehidupan
yang penuh semak sengketa
Sengketa manusia sudah lanjut usianya
menyamai kehidupan yang termazkur
derita jiwa dan hiba fikiran
bukan sebuah keharusan merelakan seksa
tidak juga kehancuran kasih dijadikan jaring
bakal menjerut leher kebabasan
kerana ia tidak pernah meminta hiba
Semalam telah kita tabur kemboja di pusara
dan renjis air mawar tanda berduka
jangan lagi ada kematian
kerana kejelikan pekerti
manusia yang tidak memahami
erti tangisan seorang bayi.
2 comments:
CT juga masih ingat cerita Afiq, tapi mengenai Noorfitri...CT kurang pasti...
Cerita manusia yg sama CT. Kita yg tak sanggup menatap derita anak-anak yang menjadi mangsa kehidupan dan manusia yang sudah hilang kemanusiaannya.
Post a Comment